Wednesday, November 3, 2010

Anwar tidak mungkin bersara hanya disebabkan nasihat bekas mufti

SERI KEMBANGAN 2 Nov. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bersara dari dunia politik semata-mata atas nasihat bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Anwar pastinya akan membuat keputusan atas pertimbangan politik beliau sendiri.

"Kalau kita faham mengapa dia masih begitu berminat, ini kerana dia mempunyai cita-cita yang masih belum kesampaian iaitu menjadi Perdana Menteri dan menguasai Putrajaya.

''Tapi, apa-apa pun, itu hak beliau dan pandangan bekas mufti Perlis juga adalah pendapatnya sendiri. Saya tidak boleh komen atas pandangan orang lain,'' katanya.

Semalam, bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin berkata, sudah tiba masanya Anwar Ibrahim bersara daripada dunia politik kerana banyak rentak politiknya dilihat semakin sumbang.

Menurut Mohd. Asri, Anwar perlu menerima hakikat bahawa zamannya akan beransur pergi dan tidak mungkin generasi baru terus bertahan untuk melihat reka bentuk cerita politiknya yang sama.

"Berilah peluang untuk beliau berundur dengan aman. Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi. Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar," kata Mohd. Asri dalam entri terbaru di blognya http://drmaza.com yang bertajuk Politik Kita Memerlukan Anjakan Baru.

No comments: