Monday, November 8, 2010

PM Bangga BN Menang Besar – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 7 Nov. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat gembira dan bangga dengan kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berjaya mempertahankan Parlimen Batu Sapi dengan majoriti besar dan merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dari tangan Pas.

Katanya, Perdana Menteri mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus dan melaksanakan tugas dengan mantap dalam usaha untuk memberikan kemenangan besar dan berganda kepada BN.

“Datuk Seri Najib sangat gembira dengan perkembangan terkini khususnya apabila calon BN dikedua-dua tempat bukan hanya beroleh kejayaan tetapi juga mendapat majoriti yang sangat memberangsangkan,” katanya kepada umno-online selepas mengunjungi Perdana Menteri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang tadi.

Najib dimasukkan ke HKL sejak Khamis untuk pemeriksaan lanjut selepas beliau mengalami rasa tidak selesa dalam perut.

“Beliau semakin beransur sembuh dan tidak sabar untuk kembali melaksanakan tugas dan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat selaku ketua negara dan juga Presiden BN,” katanya.

Maklumnya lagi, Najib juga amat menghargai usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam memastikan BN terus teguh dan beliau juga berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesihatannya.

“Perdana Menteri sangat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat bukan hanya kepada usaha untuk memastikan BN tetap utuh sebagai sebuah kerajaan tetapi juga maklumbalas terhadap kepimpinan beliau sebagai peneraju negara ini dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN memberitahu bahawa kegembiraan mendapat kejayaan dalam PRK ini telah menambahkan keyakinan Perdana Menteri dalam menerajui sebuah negara yang hidup dengan satu kesatuan dalam kepelbagaian.

“Dengan kejayaan besar dalam PRK ini telah menjadi bukti bahawa tidak ada perkara yang mustahil sekiranya tekad dan usaha gigih dilakukan. Ini ditambah lagi dengan perpaduan bersama melaksanakan amanah atas satu parti iaitu BN yang melambangkan kerjasama pelbagai kaum.

“Datuk Seri Najib juga berharap agar semangat dan perpaduan rakyat akan berterusan dan pelbagai kejayaan lain akan menyusul selepas ini”, katanya. -MediaUMNO

No comments: